Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Proses Evakuasi Malaysia Dicontohi Negara Luar

Proses evakuasi rakyat Malaysia di Yaman yang lancar dan teratur yang dilaksanakan kerajaan Malaysia menjadi model teladan negara lain, kata pelajar Madrasah Dar al-Mustafa di Tarim, Aniq Arif Basid.

14 April, 2015

/ by Admin
SEPANG - Proses evakuasi rakyat Malaysia di Yaman yang lancar dan teratur yang dilaksanakan kerajaan Malaysia menjadi model teladan negara lain, kata pelajar Madrasah Dar al-Mustafa di Tarim, Aniq Arif Basid.

"Kerajaan kita telah melaksanakan sesuatu yang amat baik dan langkah yang diambil turut digunakan pelajar dari negara lain untuk keluar dari kawasan bergolak.

"Walaupun ada badan bukan kerajaan negara mereka melaksanakan evakuasi, namun proses tersusun oleh Malaysia sentiasa dinantikan oleh pelajar-pelajar dari negara lain," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini hari ini.

Aniq Arif, 17, adalah antara 52 rakyat Malaysia yang tiba di tanah air hari ini melalui penerbangan Qatar Airways, QR844 dari Doha, Qatar, yang mendarat pada 8.25 pagi, selepas dibawa keluar dari Yaman yang sedang bergolak.

Beliau yang mengikuti pengajian Bahasa Arab berkata selain pemindahan yang teratur, kerajaan juga turut mengambil berat aspek keselesaan mereka yang dipindahkan seperti menyediakan bas yang baik serta ditempatkan di hotel yang disifatkan 'bertaraf lima bintang' semasa berada di Salalah.

Bapanya Basid Abas, 51, berkata disebabkan keprihatinan dan usaha baik yang ditunjukkan kerajaan, beliau tidak serik untuk menghantar Aniq Arif kembali ke Yaman jika keadaan di sana pulih seperti sediakala.

"Jika kerajaan kata dah selamat, saya akan benarkan anak saya kembali semula ke sana menyambung pengajian," kata petani dari Tanjung Karang, Selangor itu.

Sementara itu, Hasanul Basri Mustaffa Kamal, 12, dan abangnya Luqmanul Hakim Basir, 15, pula berkata walaupun keadaan di pusat pengajian mereka di Hadhramaut adalah selamat mereka memutuskan untuk turut pulang selepas diminta oleh keluarga.

"Selain kawasan kami selamat, saya juga tak takut sangat sebab abang ada bersama, cuma masih penat sebab terpaksa menaiki bas lebih 10 jam sebelum menaiki pesawat," kata Hasanul Basri yang berada di Yaman sejak berusia 10 tahun.



Bapanya Mustaffa Kamal Hamzah berkata beliau telah berkunjung ke Yaman dua minggu lepas bagi melawat anak kedua dan keempat daripada lapan adik beradik itu dan melihat sendiri situasi selepas peperangan bermula.

Beliau berkata pihak kedutaan Malaysia di sana sentiasa berkunjung ke pusat pengajian dan berbincang langkah yang perlu diambil kerajaan bersama pelajar bagi memastikan aspek keselamatan mereka sentiasa berada di tahap terbaik.

"Pihak kedutaan kerap datang ke madrasah, berbincang...dan hubungan baik dengan Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman memudahkan usaha evakuasi selepas kerajaan memutuskan pelajar harus kembali ke tanah air," katanya.

Setakat ini, kerajaan telah membawa pulang 382 rakyat Malaysia, termasuk 52 orang yang tiba hari ini, sejak 7 April, berikutan pergolakan yang semakin meruncing di Yaman.

Kumpulan seterusnya sebanyak 46 orang dijangka tiba menerusi penerbangan Qatar Airways, QR852 pada 8.50 malam ini. -Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo