TAPAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Tapah menerima 30 pelbagai aduan orang awam di Daerah Batang Padang sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April lalu.
Ketua Cawangan, Musa Ramli berkata, kebanyakan aduan mengenai peniaga yang mengenakan caj enam peratus GST ke atas barangan yang tidak dikenakan cukai.
Menurutnya, aduan lain adalah mengenai kenaikan harga dikenakan peniaga harga makanan, barang runcit, perkhidmatan, barangan elektrik, perabot dan termasuk gas LPG.
“Tindakan segera dan tegas perlu dikenakan terhadap peniaga ini. Mereka mengambil kesempatan atas pelaksanaan GST sedangkan pengguna menanggung beban,” katanya.
Musa berkata, daripada aduan yang diterima, 18 aduan telah diselesaikan manakala selebihnya dalam siasatan.
Jelasnya, siasatan terhadap Notis 21 yang dikeluarkan KPDNKK kepada tiga premis perniagaan yang menaikkan harga tidak munasabah sejak Ops GST-Catut pada 1 April lalu masih dijalankan.
"Pada 2 dan 3 April lalu, kami mengeluarkan dua Notis 21 kepada sebuah pasaraya dan kedai pakaian di Tapah kerana didapati meletakkan harga tidak munasabah.
"Manakala pada 4 April lalu, kami mengeluarkan Notis 21 kepada sebuah kedai serbaneka di Bidor kerana meletakkan harga tidak munasabah atas hasil aduan orang ramai dan pemeriksaan kami," katanya, lapor Sinar Harian.
No comments
Post a Comment