Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Skuad Sukan SEA Negara Ke Kejuaraan Futsal AFF 2017

Chiew Chun Yong mengekalkan 15 daripada 16 pemain skuad yang berjaya meraih pingat perak pada temasya dwitahunan itu yang menyaksikan hanya seorang pemain digugurkan iaitu Mohd Firdaus Ambiah.

19 September, 2017

/ by Admin
Skuad Sukan SEA Negara Ke Kejuaraan Futsal AFF 2017
KUALA LUMPUR - Skuad futsal lelaki negara ditunjangi pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bagi mengharungi Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 yang berlangsung di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 25 hingga 2 November 2017 ini.

Justeru, jurulatihnya, Chiew Chun Yong mengekalkan 15 daripada 16 pemain skuad yang berjaya meraih pingat perak pada temasya dwitahunan itu yang menyaksikan hanya seorang pemain digugurkan iaitu Mohd Firdaus Ambiah.

Susulan pengguguran pemain dari Melaka itu, Chun Yong memanggil tiga pemain bagi melengkapkan senarai 18 pemain iaitu Saiful Nizam Mohd Ali, Muhammad Farikh Khabibor Rahman serta Hazizi Mansor.

Chun Yong ketika dihubungi berkata, beliau mengharapkan momentum yang diraih pada KL2017 dapat diteruskan oleh anak buahnya supaya sasaran untuk mara ke separuh akhir dapat direalisasikan.

"Mereka menunjukkan persembahan yang begitu baik pada KL2017 jadi bukan sahaja saya mahu mereka mengulangi persembahan sama tetapi mengharapkan mereka dapat meningkatkan lagi prestasi mereka pada Kejuaraan AFF ini.

"Saya juga mahu melihat penambahbaikan dari segi sistem kombinasi, taktikal dan strategi ketika bertahan. Walaupun kami menyasarkan peringkat separuh akhir, kami akan mengambil pendekatan untuk fokus dalam satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Saya akui ini bukanlah skuad yang terbaik kerana saya mahukan lebih ramai pemain muda, namun saya tetap yakin dengan kemampuan mereka.

"Segala-galanya tetap bergantung kepada cara mereka menyesuaikan diri dengan taktikal serta permainan yang menuntut kerja keras mereka," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada Kejuaraan Futsal AFF 2017 itu, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A bakal memulakan kempen bertemu Laos pada 25 Oktober diikuti Filipina (27 Oktober), Australia (28 Oktober) dan Myanmar (29 Oktober).

Sementara Kumpulan B dibarisi juara bertahan Thailand, Timor Leste, Brunei, Indonesia dan tuan rumah, Vietnam.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir pada 31 Oktober sekali gus mengisi empat slot ASEAN ke Kejuaraan Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang akan berlangsung di Chinese Taipei, Februari depan, lapor Berita Harian.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo