PAPUA NEW GUINEA - Pengawal penjara menembak mati 17 banduan selepas bertindak melarikan diri beramai-ramai di penjara Buimo, di sini.
Tiga banduan berjaya ditahan semula manakala 57 yang lain berjaya melarikan diri dan masih bebas.
Pihak berkuasa memberi amaran, banduan terlepas yang sebahagiannya masih menunggu perbicaraan menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan di kawasan berhampiran.
Penjara di Lae, bandar kedua terbesar di Papua New Guinea kerap meyaksikan kejadian banduan terlepas sejak beberapa tahun lalu.
"Majoriti yang melarikan diri adalah mereka yang ditahan kerana jenayah serius dan berada dalam tahanan yang menunggu perbicaraan," kata ketua polis, Supritendan Anthony Wagambie dipetik media tempatan.
"Beberapa ditahan oleh polis tahun lalu atas kesalahan samun bersenjata, curi kereta dan pecah rumah dan mencuri, " katanya dipetik BBC.
Anthony memberi amaran akan menangkap banduan dan menyeru mereka supaya menyerah diri kepada pemimpim masyarakat, paderi atau ahli keluarga untuk dibawa balik ke penjara.
Penjara di Papua New Guinea sering berdepan masalah kesesakan, keadaan yang teruk dan tempoh masa yang lama untuk menunggu perbicaraan.
Pada 2016, sekurang-kurangnya 11 tahanan ditembak mati dan lebih daripada 70 melarikan diri apabila mereka menyerbu pintu utama dan menyerang pengawal.
Tahun sebelumnya, kira-kira 50 banduan berjaya melarikan diri dengan cara yang sama.
No comments
Post a Comment