HANYA RM800,000. Itu gambaran sebenar kantung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) apabila jumlah penajaan yang diperolehi kini jauh daripada yang diperlukan iaitu kira kira RM15 juta bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) 2017.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya setakat ini hanya memperolehi penaja-penaja kecil sahaja, sekali gus menggambarkan kewangan persatuan itu kini berada dalam keadaan sangat kritikal.
Bagaimanapun katanya, dalam mesyuarat pengurusan yang berlangsung semalam, pihaknya masih belum membuat kata putus berhubung kedudukan TRW untuk menyertai sangian (Liga- M) musim depan, sebaliknya menyerahkan kepada Kongres Kafa yang bakal bersidang pada 29 Disember ini.
“Daripada laporan bendahari yang dibentangkan, kita hanya ada sekitar RM700,000 hingga RM800, 000 sahaja, jumlah ini jauh daripada apa yang diperlukan.
"Oleh kerana ini perkara yang besar kita perlu membuat perkara ini ke Kongres, Exco akan mengusulkan status termasuk kemampuan kewangan, disitu kita akan buat ketetapan sama ada sertai (Liga-M) atau sebaliknya.
"Tetapi apa yang jelas kita setakat ini tidak mampu," katanya kepada pemberita.
Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Agong Kafa, Datuk Ismail Md Noor, Naib Presiden Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail serta Bendahari, Nik Aminaldin Jaafar.
Terdahulu, Rosmadi dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, mesyuarat semalam akan menjadi penentu nasib sama ada TRW kekal atau sebaliknya, malah tidak menolak kemungkinan menarik diri sekiranya penajaan masih belum mencukupi.
Afandi berkata, dalam tempoh itu, usaha untuk mencari dana berterusan termasuk mendapatkan kerjasama dari pihak kerajaan negeri mahupuan pusat.
Ditanya dakwaan kerajaan negeri yang dikatakan kurang berminat untuk membantu Kafa, Afandi berkata pihak merancang mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam masa terdekat.
Beliau berkata, walaupun menghadapi pelbagai kekangan, pihaknya tidak akan mengalah dan menyeru kepada mereka yang berkenaan tampil membantu TRW bagi meneruskan aksi.
Berhubung dengan status pemain Afandi berkata, latihan tetap berjalan seperti biasa sehingga ada satu ketetapan pada kongres itu nanti.
"Dari segi teknikal kita sudah mendaftarkan pasukan, itu hanya dokumentasi sahaja. tetapi ia bergantung kepada keperluan lain seperti kewangan dan sebagainya"
"Apapun selepas pada kongres kita masih ada masa untuk membuat tindakan susulan selepas keputusan dibuat, walau apa pun kita masih mengharapkan TRW masih tetap kekal," katanya.
Dalam pada itu, ditanya lanjut mengenai status penajaan jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang masih mempunyai baki kontrak, Afandi berkata, pihaknya lebih bersikap berkopromi dan berbincang daripada mengambil jalan lain termasuk mengambil tindakan undang-undang.
“Kita juga menucapkan terima kasih kepada pihak Sinar Harian yang meneruskan penajaan, syarikat ini terus menunjukkan komitmen untuk TRW, berhubung dengan Chengal Jati mereka masih belum membuat keputusan,” katanya. - Sinar Harian
No comments
Post a Comment