
Jodoh jurulatih Irfan Bakti Abu Salim bersama Felda United akhirnya menemui titik noktah apabila pengendali kelahiran Perak itu mengesahkan melepaskan jawatannya selepas berkhidmat bersama pasukan berstatus kelab tersebut selama tiga tahun.
Irfan mula menyertai skuad The Fighters bagi menggantikan K. Devan pada musim 2013 dan beliau telah membantu Felda United muncul naib juara Liga Super musim ini selain layak ke saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
Ditanya mengenai punca peletakan jawatan tersebut, bekas jurulatih Terengganu dan Selangor itu mengakui bahawa kegagalan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menyebabkan beliau tekad untuk mengundur diri.
Musim ini, Felda United telah meletakkan KPI ke atas Irfan agar juara Liga Premier 2010 itu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini.
“Saya gagal mencapai KPI saya. Jadi, itulah sebabnya (mengapa melepaskan jawatan sebagai jurulatih Felda United). Saya telah mengumumkan perkara ini sebaik tamat perlawanan ketika kami seri 3-3 menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak Jengka semalam (kelmarin).
“Kami gagal untuk sekurang-kurang menjulang satu trofi kerana ia adalah KPI saya musim ini. Jadi, saya fikir ia adalah tindakan yang wajar tetapi saya tetap berbangga dengan pencapaian anak-anak buah saya pada musim ini,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Musim ini, Felda United sekadar layak ke pusingan suku akhir Piala Malaysia apabila tewas 1-2 secara agregat kepada T-Team dan tersingkir daripada saingan Piala FA pada pusingan ketiga selepas tewas 2-3 kepada Selangor PKNS.
Sepanjang membimbing Felda United, Irfan berjaya membantu The Fighters menjadi naib juara Piala FA 2014 dan naib juara Liga Premier 2014.
Dalam perkembangan sama, Irfan memberi bayangan bahawa beliau akan membimbing pasukan baharu pada musim depan tetapi pada masa yang sama, beliau tidak terburu-buru untuk berunding dengan mana-mana pasukan, lapor Kosmo.
No comments
Post a Comment