Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Tiada Isu Warna Utama Jersi Pasukan Kelantan - KAFA

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan, tidak ada isu berkaitan warna utama jersi yang akan digunakan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

20 January, 2016

/ by Admin
Annuar menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya dalam peraturan bola sepak, bagi mengelakkan timbul kekeliruan. - Gambar Fail

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menegaskan, tidak ada isu berkaitan warna utama jersi yang akan digunakan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA telah mendapat keizinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendaftarkan jersi tuan rumah bagi pasukan itu pada musim ini adalah warna merah dan merah jambu, manakala warna jersi di tempat lawan ialah putih dan merah jambu.

“Tidak ada isu berkaitan warna jersi pertama, kedua dan ketiga. Ramai orang tidak faham berkaitan peraturan ini. Contohnya, kita daftarkan warna merah dan merah jambu sebagai jersi tuan rumah, supaya pasukan yang bertandang sudah tahu jersi tuan rumah warna apa,” katanya selepas menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan antara Kelantan dan Yala FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Annuar menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang tidak boleh diubah sewenang-wenangnya dalam peraturan bola sepak, bagi mengelakkan timbul kekeliruan, misalnya logo dan nama tetap pasukan adalah Kelantan.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung Penasihat Kehormat KAFA dan penaja utama pasukan tersebut, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih dikenali sebagai Dr Vida yang mahu memastikan warna merah jambu dan putih menjadi warna jersi utama pasukan itu.

Isu itu timbul, selepas KAFA mengumumkan warna jersi utama pasukan berkenaan ialah merah dan warna tempat lawan ialah putih.

Mengenai permintaan Dr Vida yang juga Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, supaya beliau dilantik sebagai pengurus eksekutif skuad PQPTRW musim ini, Annuar berkata, KAFA akan menjelaskan kepada Dr Vida berkaitan peraturan pengurusan dalam bola sepak, sama ada peraturan Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), FAM dan sebagainya.

“Sekiranya mahu menjadi pengurus, perlu mempunyai kelayakan dan kriteria tertentu, mahu menjadi pengurus tidak boleh datang semasa perlawanan sahaja dan perlu datang pada masa latihan juga.

“Perkara sebegini kita perlu terangkan, saya percaya Dr Vida faham tidak menjadi masalah. Kadang-kadang orang awam tidak perasan kita mempunyai banyak peraturan dalam bola sepak, oleh itu kita sentiasa berunding dan apabila tiba masanya, kita umumkan,” katanya.

Annuar juga berkata, kerja membaik pulih Stadium Sultan Muhammad IV akan dimulakan hari ini, dengan tumpuan kepada kerja pembersihan dan mengecat warna merah jambu di bahagian dalam stadium, sebelum kerja di luar stadium dilakukan.

Beliau berkata, kerja itu perlu disiapkan sebelum 13 Mac ini, iaitu sebelum Liga Malaysia bermula. -Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo