Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

Kedah Menang Bergaya Ke Atas Terengganu

Kedah mengutip tiga mata berharga dalam saingan Piala Malaysia 2015 selepas melakar kemenangan selesa 5-0 ke atas Terengganu

19 September, 2015

/ by Admin
Sandro Da Silva meraikan jaringannya pada perlawanan Liga Malaysia di antara Kedah menentang Terengganu di Stadium Darul Aman malam tadi. -Foto Bernama
ALOR SETAR - Juara Liga Perdana, Kedah mengutip tiga mata berharga dalam saingan Piala Malaysia 2015 selepas melakar kemenangan selesa 5-0 ke atas Terengganu pada aksi Kumpulan A di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Helang Merah mendahului carta kedudukan Kumpulan A dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.

Penyerang import dari Brazil, Sandro Da Silva muncul wira pasukan Kedah apabila meledak hatrik pada minit ke-51, ke-66 (penalti) dan ke-81.

Dua lagi gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Muhd Farhan Roslan pada minit ke-71 dan Mohd Alif Fadzil pada minit ke-86.

Terdahulu, Terengganu terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin melayangkan dua kad merah kepada pemain pasukan pelawat yang melakukan kekasaran ke atas pemain Kedah.

Muhd Hafizal Mohamad menerima kad merah pada minit ke-24 selepas mengasari Muhd Farhan sebelum penyerang Terengganu, Norshahrul Idlan Talaha diperintah keluar padang pada minit ke-75 selepas mengasari Osman Md Yusuf.

Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, pasukan Kelantan gagal mengutip mata penuh di laman sendiri selepas seri 1-1 menentang Felda United pada aksi Kumpulan C.

Gilmar da Silva meletakkan skuad ‘The Red Warriors’ di hadapan pada minit ke-48 selepas bijak menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun, sebelum pasukan pelawat menyamakan kedudukan hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-63.

Malam ini, enam lagi perlawanan Piala Malaysia akan berlangsung melibatkan, masing-masing dua perlawanan dalam Kumpulan B dan D selain satu perlawanan dalam Kumpulan A dan C.

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo