Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata FAM adalah punca utama mengapa penyokong bola sepak Malaysia mengambil tindakan drastik seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam pada Selasa lepas.
Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan penyokong membakar suar, membaling bom asap dan mercun semasa perlawanan bertemu Arab Saudi dalam Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, beliau faham mengapa mereka mengambil jalan itu untuk meraih perhatian, ekoran kegagalan pentadbiran FAM selama 31 tahun.
Dalam entri terbaru JOHOR Southern Tigers di laman sosial Facebook, untuk memartabatkan semula bola sepak Malaysia, beliau menggariskan enam panduan seandainya beliau memegang tampuk pimpinan di FAM iaitu;
1. Proses pembersihan pentadbiran FAM dalam tempoh setahun.
2. Menarik minat orang yang benar-benar memiliki pengetahuan dan berlatar-belakang bola sepak tanpa menunggu hasil akar umbi, sebaliknya pela perubahan bermula sekarang.
3. Menambah baik pertandingan di semua peringkat agar menjadi lebih kompetitif, sekaligus dapat meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.
4. Pembangunan akar umbi dan pembangunan infrastruktur. Turut ditekankan mengenai hasil hak penyiaran diperuntukkan kepada pasukan bertanding tetapi perlulah berbelanja dengan berhemah.
5. Para pengadil berada di bawah naungan badan bebas untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
6. Bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti SPRM dan PDRM untuk mencegah korupsi.
Susulan ramai yang mahukan FAM dirombak, beliau mengingatkan bahawa beliau pernah menyatakan tidak berminat dengan jawatan presiden FAM, dan berharap perlembagaan badan induk itu diubah sekiranya beliau berada di dalam FAM.
Ini kerana bagi Tunku Ismail, ahli-ahli di dalam FAM ketika ini hanya menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan tertentu.
Oleh itu beliau bimbang tidak boleh mendapat kerjasama yang sepenuhnya kerana ahli-ahli FAM adalah melalui undian, dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya digugurkan. - Astro Arena
No comments
Post a Comment