Responsive Ad Slot

Terkini

Trending

BMW Malaysia Mungkin Naikkan Harga Jualan

BMW Group Malaysia berkemungkinan menaikkan harga jualan keretanya tahun depan jika ringgit terus lemah berbanding euro.

09 September, 2015

/ by Admin
CYBERJAYA - BMW Group Malaysia berkemungkinan menaikkan harga jualan keretanya tahun depan jika ringgit terus lemah berbanding euro.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Harris berkata, sebagai pengimport, mereka lazimnya akan berdepan tekanan kewangan apabila nilai mata wang susut.

"Jika keadaan (penurunan ringgit) berterusan, saya tidak menolak kemungkinan harga akan dinaikkan menjelang awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran model BMW X6 yang dipasang di Malaysia, bersempena pembukaan ibu pejabat baharu BMW Group Malaysia di sini, hari ini.

BMW X6 xDrive35i M Sport adalah varian kesembilan yang dipasang di Malaysia.

Harris turut mengakui syarikat itu berdepan banyak tekanan sejak beberapa minggu lepas apabila ringgit menghampiri paras RM4.90 berbanding euro.

"Kami tidak membincangkan soal mata wang itu apabila ringgit pada RM3.80-RM3.90 berbanding euro pada tahun lepas. Namun kini ia mencecah paras RM4.90 dan ini satu angka yang besar dan memberi tekanan," katanya.

Mengulas pelancaran model BMX X6 berkenaan, beliau menyifatkan kereta yang dipasang di Malaysia itu sebagai bukti pelaburan dan komitmen jangka panjang syarikat berkenaan terhadap negara ini.

"Malaysia terus menjadi hab strategik untuk BMW Group di Asia Tenggara.

"Selain langkah pemasangan BMW X6 baharu di sini, kami turut meraikan majlis pecah tanah Pusat Pengedaran Alat Ganti di Johor," katanya.

Setakat Ogos lepas, BMW Group Malaysia telah menjual sebanyak 4,475 unit BMW, 481 unit kereta MINI dan 654 unit motosikal Motorrad BMW, katanya.

Kereta BMW X6 xDrive35i M Sport yang dijual pada harga 666,888 seunit di atas jalan termasuk insurans, turut ditawarkan dalam warna Alpine White, Flamenco Red, Carbon Black dan Space Grey dengan pilihan warna hiasan dalaman termasuk Coral Red dan Cognac. - Bernama

No comments

Post a Comment

Don't Miss
© all rights reserved
made with by templateszoo